dr http://www.ustazamin.com/2010/03/universiti-kehidupan-148-hasbunallah-wa.html
Monday, March 29, 2010
“HasbunAllah Wa Nik Mal Wakil” (Cukuplah Allah Bagi Kita Sebagai Pembela)
Kalau sebut tanah suci, kita pasti akan rasakan bahawa tempat ini adalah tempat yang berkat, manusianya pun, telah bersikap ala-ala malaikat.
Tetapi Mekah, adalah tempat penyuci dosa bagi manusia. Berbagai perangai dapat dilihat di sini.
Orang Jerusalem menggelar tanah dan tempat ini dengan ungkapan:-
“Khirul Kubbah’ah wa sarrun nas” (sebaik-baik bonjolan (kaabah) dalam waktu yang sama masyaratnya ada yang paling teruk)
Tapi saya lebih suka ungkapan orang Mesir:-
An-Nas kal Maadin (manusia itu seperti galian).
Di dalam perut bumi ada macam-macam galian, ada yang berguna dan ada yang tidak. Macam tu juga manusia, ada yang berguna, ada yang tidak.
Tidak kira di mana-mana tempat sekalipun, yang baik dan yang kurang baik pasti ada.
Bak kata pepatah Melayu:-
“Dalam Setandan Pisang, Tidak Semuanya Baik”
Di bumi Mekah ini, sering kita melihat orang bertengkar, di kedai, di dataran, di tandas, di dalam masjid hingga di hadapan Kaabah pun ada juga yang bergaduh.
Semalam 28 Mac 2010, sewaktu pulang dari Masjid al-Haram selepas solat Asar, saya mendengar dari jauh orang terpekik dan menjerit.
Di satu sudut orang berkumpul.
Satu pergaduhan berlaku antara penguatkuasa dengan peniaga haram kaki lima.
Penguatkuasa yang datang cuba merampas barang seorang lelaki penjual hadiah, lelaki ini cuba mempertahankan barang-barangnya agar tidak dirampas. Kereta sorong barang-barang ini telah diangkut naik ke atas pacuan empat roda, tinggal barang-barang sahaja belum lagi.
Penguatkuasa muda ini sungguh keras, dia seboleh-boleh ingin menyita barang-barang ini.
Tetapi, jemaah yang pulang dari masjid, ramai-ramai menghalang daripada barang-barang ini diangkut ke dalam kenderaan penguatkuasa.
Orang Turki membebel dengan bahasa Turkinya, orang Pakistan dengan bahasa Urdunya, orang Arab dengan loghat Arab pasarnya.
Semua berkumpul dan tidak membenarkan penguatkuasa ini merampas barang peniaga ini.
Hinggalah penguatkuasa ini memanggil dengan Walke Talkie nya pegawai yang lebih tinggi. Tidak lama selepas itu, datang seorang yang agak berumur.
Dia menghampiri pergaduhan dan tolak menolak ini. Setelah mendengar beberapa penjelasan peniaga ini, dia mengarahkan agar dilepaskan peniaga ini.
Rakan peniaga ini terus membawa barang perniagaan ini pergi jauh dari penguatkuasa. Tetapi peniaga kaki lima ini masih terus tidak puas hati dan terus menjerit-jerit melepaskan perasaannya.
Penguatkuasa muda yang memang telah marah, mula bertindak kasar. Tetapi kedua-dua dileraikan oleh orang ramai.
Tiba-tiba seseorang memekik:-
“Hasbunallah Wa Nik Mal Wakil…..”, “Hasbunallah Wa Nik Mal Wakil…..”, “Hasbunallah Wa Nik Mal Wakil…..”
(Cukuplah Allah bagi kita sebaik-baik pembela)
Seperti brek pada kereta. Semua terus diam dan tenang.
“Ya, Allah, hebatnya namaMu” bisik hati saya.
Terus masing-masing reda dan perlahan-perlahan bersurai.
Begitulah mansia, jika masih ada iman, disebutkan nama Allah, pasti terasa perlunya kembali kepada ajaranNya. Di dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa:-
Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat- ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (Surah al-Anfal ayat 2)
Bagaimana kita? Bagaimana jika kita bertengkar dengan suami atau isteri kita, atau dengan rakan sekerja, atau rakan sekelas, atau jiran, atau orang yang kita berurusan?
Agak-agak kalau disebut nama Allah, boleh terus sejuk tak?
Atau ketika diingatkan pada kita:-
“Sabar, Sabar, InnaAllaha Maas Sabirin…”
Ini jawapan kita…
“Apa birin- birin….”
Aduh, jauh lagi kita dari menjadi orang yang soleh.
Tapi, apapun keadaan kita, kita baikilah diri kita, supaya ia semakin hampir kepada sunnah yang diajarkan oleh Nabi.
Mungkin hari ini kita kurang berjaya, tapi dengan usaha yang berterusan, mudah-mudahan, Allah bantu kita memperbaiki diri kita.
Sesungguhnya, Allah tidak melihat di mana kita bermula, tetapi Dia mahu melihat di mana penghujung kita.
Ini kerana, penghujung yang baik adalah permulaan yang baik…
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Baity Bakkah Hotel, Makkatul Mukarramah
13 Rabiul Akhir 1431/29 Mac 2010 jam 9.00 pagi
~sungguh insaf bila baca!!!terasa diri sangat kerdil~~~~~~~
No comments:
Post a Comment